بسم الله الرحمن الرحيم 
Manusia memang mudah  terlupa. Sering terlupa tempat barang miliknya diletak, terlupa temu  janji, terlupa isi-isi penting pelajaran sehingga tidak mampu menjawab  dengan tepat dalam peperiksaan dan sebagainya. Sebab itulah manusia  memerlukan organizer dan reminder. 

Tidak mengapa jika manusia  sering terlupa itu dan ini. Bukankah manusia dinamakan manusia kerana  sifatnya yang pelupa? Itulah asal maksud perkataan al-insan daripada kata akar nasiya  (lupa). Namun jangan sekali-kali kita terlupa bahawa kita pernah beraku  janji dengan Pemilik timur dan barat serta Pencipta langit dan bumi.  Kita pernah "menandatangani" satu kontrak dengan Pencipta kita. Itulah kesaksian Tauhid.
Allah berfirman yang bermaksud : "Dan  ( ingatlah), ketika TuhanMu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari  sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya  berfirman) : ' Bukankah Aku ini TuhanMu?' "Mereka menjawab : 'Betul  (Engkau Tuhan Kami), kami menjadi saksi.' (Kami lakukan yang demikian  itu) agar pada hari Kiamat kamu tidak akan mengatakan : 'Sesungguhnya  kami (bani Adam) ialah orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)." (Surah al-'Araf 7 : 172)

Jika kita selalu ingat "aku janji" dan "kontrak"  yang pernah ditandatangani dulu, maka perjalanan kita mencari redha  Allah pasti akan jarang tersasar walau iman ada naik dan turunnya.  Kekallah fokus demi memenuhi aku janji yang pernah dimeterai dulu dengan  sentiasa mengikut majlis ilmu dan mengamalkan ilmu yang ada, bergaul  dengan orang soleh dan selau bermuhasabah diri.
والسلام
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan